In Transition

Al - Fatihah buat Nenek

Pada hari Sabtu, 2 Julai 2005 pukul 3.30 petang, Nenek telah kembali ke Rahmatullah. Setelah hampir 1 1/2 tahun nenek terlantar kerana diserang strok kali kedua. Pemergian nenek amat terasa. Dalam masa yang sama, kami bersyukur kerana nenek tidak lagi perlu menanggung kesakitan.

Kata orang, kita boleh rasakan keganjlan yang belaku sekiranya salah seorang ahli keluarga akan meninggalkan kita. Sepanjang malam, Mak resah dan termuntah-muntah. Mak kata, mak rasa tidak sedap hati, hendak ke sekolah pun dia tidak dapat laksanakan tugasnya. Baba dan kakak pula seolah-olah tidak bersemangat untuk meneruskan rancangan mereka ke Singapura. Aku pula, membuat keputusan untuk pulang awal ke rumah setelah keluar bersama-sama Napi. Dia tidak sihat dan penat. Manakala aku pula tidak tahan cuaca yang panas. Pukul 3 aku telah tiba di rumah. Walhal, kebiasaannya jam 5 baru menampakkan batang hidung

Seluruh keluarga pelik. Ingat aku bertengkar. :)

Mungkin disebalik keganjilan itu, terselit hikmahnya. Kami seluruh keluarga berada di rumah sewaktu menerima berita yang disampaikan oleh Mak Ngah. Kami bergegas ke Kuala Lumpur selepas Asar. Mak dan kakak menangis. Aku pula bagaikan boleh menjangka berita yang diterima. Titisan air mataku hanya mengalir sehari kemudian ketika melihat nenek dikafankan.

Jenazah Nenek selamat disemadikan keesokan harinya. Aku tidak melepaskan peluang untuk membantu dalam menguruskan jenazah Nenek. Inilah sumbangan terakhir dariku. Wajah nenek kelihatan amat tenang. Nenek tidak lagi perlu menanggung kesakitan. Air mataku tidak dapat kutahan ketika jenazah nenek dipakaikan telekung. Sebak hatiku. Seolah-olah Nenek masih hidup, baru selesai wuduk untuk bersolat. Hatiku semakin pilu apabila perlahan-lahan anak-anak Nenek dan cucu-cucunya bergilir-gilir mencium jenazah nenek untuk kali terakhir. Terdetik juga perasaan bangga kerana ikatan kekeluargaan yang kukuh terserlah ketika itu. Saudara-mara yang jauh dan dekat datang memberikan sokongan, jiran tetangga tampil memberikan penghormatan. Segalanya berjalan lancar.

Semalam adalah malam ketiga Nenek di Rahmatullah. Semoga rohnya dicucuri Rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Al-Fatihah.





0 Comments:

<< Home